41 Warga Bomba Samarahan Jalani Kuarantin, Rubiah Wang Sumbang Bantuan Bekalan Makanan

AHAD, 05 SEPTEMBER 2021

KOTA SAMARAHAN : Seramai 41 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan yang menjalani kuarantin telah menerima bantuan bekalan makanan sumbangan Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang.

Bantuan bekalan itu telah disampaikan oleh wakil beliau, Pegawai Khas Ahli Parlimen Kota Samarahan, Syahrizzal Arfandy Adam pada Jumaat dlm satu majlis ringkas anjuran Pusat Khidmat Parlimen Kota Samarahan.

Rubiah Wang turut berpesan kepada anggota-anggota yang terlibat supaya tabah dalam menghadapi dugaan berkenaan serta didoakan agar mereka diberikan kesembuhan segera daripada COVID-19.

Beliau dalam pada itu mengucapkan terima kasih kepada semua anggota bomba dari balai berkenaan kerana sepanjang tempoh negara dilanda pandemik COVID-19 mereka telah bertungkus-lumus dalam membantu kerajaan serta masyarakat dalam mendepani wabak berkenaan khususnya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dalam satu-satu kawasan di daerah Samarahan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Kota Samarahan, PKPgB Ebby Hirwandy Sharbini, merakamkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada Rubiah Wang kerana menghulurkan bantuan kepada anggota-anggota yang terlibat dalam kuarantin tersebut.-EDISI UKAS

Share
0

add comment