Aktiviti Wang Kripto Sumbangan Terbesar Kepada Kerugian SEB

AHAD, 5 SEPTEMBER 2021

BINTULU: Sarawak Energy Berhad (SEB) mengalami kerugian sebanyak RM1.4 juta sejak tahun 2010 berpunca daripada kecurian kuasa elektrik.

Menurut Menteri Utiliti Sarawak Dato Sri Dr Stepehen Rundi Utom, aktiviti mata wang kripto menjadi sumbangan terbesar kepada kerugian pendapatan SEB.

“Kerugian pendapatan SEB pada 2010 berjumlah RM220 juta dan menurun kepada RM73 juta pada tahun 2020.

“Dari 2018 hingga Ogos 2021, terdapat 125 kes dengan 74 kes di Miri, 41 kes di Kuching, 8 kes di Sibu dan 2 kes di Bintulu yang mengakibatkan SEB kehilangan pendapatan sebanyak RM21.4 juta,” katanya menerusi satu kenyataan media Kecurian Elektrik Di Sarawak pada Sabtu. 

Tambahnya lagi, SEB telah mengambil pelbagai langkah untuk membendung kecurian elektrik antaranya pemeriksaan aktif berterusan di seluruh Sarawak dengan bekerjasama dengan Kementerian Utiliti Sarawak, Pejabat Peguam Negeri, Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pengesanan menggunakan teknologi digital, pendakwaan kes di mahkamah dan kesedaran dan maklumat orang ramai. 

Sehingga kini terdapat 13 kes kecurian elektrik telah dibawa ke mahkamah dengan pelakunya telah mengaku bersalah, sementara 6 kes lagi masih dalam proses pendakwaan dengan jumlah denda yang dikenakan berjumlah RM348,000.

Mereka yang didakwa mencuri kuasa elektrik ini boleh dihukum di bawah Seksyen 33 (5) Ordinan Elektrik, yang membawa hukuman RM100,000 dan atau penjara lima tahun jika didapati bersalah.-EDISI UKAS

Share
0

add comment