Proses Pemvaksinan Individu Bawah Umur 18 Tahun Bermula Rabu Ini Di Sarawak

AHAD, 05 SEPTEMBER 2021

KUCHING: Sarawak kini dalam persiapan untuk memberikan vaksin kepada individu di bawah umur 18 tahun bagi melindungi mereka daripada wabak COVID-19.
 
Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada Sabtu, inisiatif tersebut akan dimulakan di Sarawak pada Rabu ini susulan kelancaran pemberian vaksin di negeri itu yang kini sudah mencapai sasaran lebih 80 peratus populasi dewasanya lengkap divaksin.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah pula berkata, segala perincian mengenai program tersebut akan diumumkan kelak jika segala persiapan bagi kelancaran proses pemvaksinan itu sudah lengkap.
 
Beliau sekali lagi menyeru sesetengah kelompok individu yang masih gagal mendaftar atau masih berdegil mendapatkan vaksin untuk segera berbuat demikian.
 
“Kita masih ada 62 pusat pemberian vaksin (PPV) awam dan Kinik Kesihatan yang masih beroperasi di seluruh negara.
 
“Sila ambil perhatian bahawa hari terakhir untuk mendapatkan vaksin dos pertama adalah pada 6 September ini.

“Mereka boleh hadir terus ke PPV berdekatan atau Klinik Kesihatan tanpa perlu membuat janji temu”, katanya menerusi kenyataan media pada Ahad.
 
Untuk rekod, setakat hari ini sebanyak 3,716,143 dos vaksin telah diberikan kepada individu yang layak termasuk 1,883,698 atau 91.2 peratus bagi dos pertama dan sebanyak 1,832,445 atau 88.7 peratus bagi dos kedua – EDISI UKAS

Share
0

add comment