Seramai 650 Orang Penduduk Kampung Opar Jalani Ujian Calitan COVID-19 Kedua

AHAD, 5 SEPTEMBER 2021

BAU: Seramai 650 orang penduduk Kampung Opar yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) sejak 27 Ogos lepas tampil menjalani ujian calitan COVID-19 dalam operasi pengesanan kes aktif (ACD) kedua di dewan kampung berkenaan pada Ahad.

Daripada kesemua individu tersebut seramai 342 orang adalah lelaki, manakala 308 orang lagi wanita.

Sementara itu, bilangan pecahan mengikut kategori umur individu terbabit adalah mereka yang berusia 12 tahun dan ke bawah seramai 96 orang, 13 hingga 17 tahun (60), 18 hingga 59 tahun (330) dan selebihnya warga emas berusia 60 tahun dan ke atas (114).

Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengesan seramai 152 orang yang mempunyai kontak rapat manakala 167 orang lagi yang bergejala.

Sebanyak 242 sampel telah diperoleh daripada ACD berkenaan yang dilakukan oleh seramai 33 orang petugas kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Bau dan enam orang lagi dari pasukan makmal Kuching.

Para petugas dari agensi lain turut membantu dalam melancarkan proses pelaksanaan ACD termasuk empat petugas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan lapan orang ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Opar. -EDISI UKAS

Share
0

add comment