JPBB Limbang Buka PKRC Kedua Di Stadium Tertutup Limbang

ISNIN, 6 SEPTEMBER 2021

LIMBANG: Peningkatan kes positif COVID-19 yang mendadak di Daerah Limbang sejak beberapa hari lalu telah menyebabkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Limbang membuka sebuah lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Stadium Tertutup Limbang pada Sabtu. 

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Bahagian Limbang juga telah menyediakan COVID Assessment Centre (CAC) untuk menyaring setiap pesakit yang hadir bagi membuat pengasingan sama ada di kuarantin di PKRC atau di rumah.

Ini merupakan PKRC kedua di Daerah Limbang selepas Dewan Suarah Limbang. 

PKRC Stadium Tertutup ini dibuka bagi menampung dan memindahkan sebahagian dari pesakit COVID-19 akibat kesesakan di wad Hospital Limbang dan Dewan Suarah Limbang. 

Pemindahan ini akan memberi ruang yang selesa bukan sahaja kepada pesakit malahan kepada petugas-petugas barisan hadapan yang terpaksa bertugas sepanjang 24 jam mengikut jadual yang telah ditetapkan KKM.

Beberapa agensi di bawah JPBB Limbang seperti Pejabat Residen Bahagian Limbang, Pejabat Daerah Limbang, KKM Bahagian Limbang, Jabatan Kerja Raya (JKR), Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pejabat Belia dan Sukan Sarawak, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Limbang, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Bahagian Limbang telah bekerjasama dalam menyediakan PKRC Stadium Tertutup Limbang ini.-EDISI UKAS