Kebenaran Sekolah Memandu Beroperasi Dalam PPN Fasa 3 Dengan SOP Ketat

ISNIN, 6 SEPTEMBER 2021

MIRI: Di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 3, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak telah membenarkan sekolah memandu beroperasi bermula 1 September lepas. 

Menurut Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin kebenaran itu disertakan dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat yang dikemukakan oleh Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi Zon Sarawak

“Untuk SOP latihan amali di dalam kenderaan SKIM (Sijil Kenderaan Institut Memandu), pemakaian pelitup muka oleh pengajar dan calon sepanjang masa di dalam kenderaan SKIM adalah diwajibkan.

“Begitu juga diwajibkan untuk membuka dan menurunkan tingkap kenderaan untuk peredaran udara yang baik serta mengelakkan pengunaan penghawa dingin semasa dalam kenderaan,” katanya menerusi kenyataan media selepas mengadakan lawatan ke Institut Memandu di Institut Memandu City Miri Sdn Bhd dan Institut Memandu Miri Subis Sdn Bhd pada Ahad.

Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak menambah, anggota JPJ juga akan melakukan lawatan pemeriksaan untuk memastikan semua institut memandu mematuhi SOP ditetapkan pihak berkuasa.

Antara SOP PPN Fasa 3 yang dibenarkan ialah semua operator premis, pekerja dan jurulatih atau pengajar memandu diwajibkan telah melengkapkan dua dos vaksinasi lengkap COVID-19 dan calon dan pelajar juga diwajibkan lengkap dua dos vaksin COVID-19 serta mempunyai Sijil Digital Vaksinasi atau Kad Vaksinasi COVID-19 yang dijadikan bukti sebelum diterima institut memandu.

Hadir sama Pemangku Residen Bahagian Miri, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri Jamalie Busri, Setiausaha Majlis Bandaraya Miri Morshidi Fredrick, Ketua Unit Pelesenan Pemandu JPJ Miri Juti Dunggau, Pengurus Institut Memandu City Miri Sdn Bhd Lawrence Chai Pei Hua dan Pengurus Institut Memandu Miri Subis Sdn Bhd Irene Chai Pei Yin.-EDISI UKAS

Share
0

add comment