Kolaborasi Pertama Penubuhan Makmal Satelit Antara JTS & UTM

ISNIN, 6 SEPTEMBER 2021

KUCHING: Jabatan Tanah Dan Survei (JTS) Sarawak dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah memeterai satu memorandum persefahaman (MOU) di Dewan Undangan Negeri Sarawak pada Isnin.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg memberitahu jalinan kerjasama tersebut adalah untuk mewujudkan makmal satelit JTS-UTM menerusi perkongsian teknologi, kepakaran, peluang latihan dan penyelidikan.

“Ini adalah satu kolaborasi yang pertama antara Universiti Teknologi Malaysia dengan sebuah agensi kerajaan untuk meningkatkan pendekatan baharu dalam menguruskan hal tanah termasuk penilaian struktur tanah dari sudut perancangan.

“Pertindahan yang berlaku seperti di antara pertanian dan pembangunan bandar adalah sebab kita mesti melihat kepada kajian yang menyeluruh dalam bidang ini,” kata beliau pada sidang media selepas Majlis Perasmian Hari Inovasi Dan Integriti Tanah Dan Survei Sarawak (HIITS) 2021.

Datuk Patinggi Abang Zohari turut memaklumkan, kolaborasi diantara pakar-pakar daripada UTM dengan agensi kerajaan itu juga dapat meningkatkan prestasi dalam membangunkan negeri dari segi penggunaan tanah sekaligus menghadapi krisis pandemik COVID-19.

“Kalau kita tidak berinovasi, tiada penyelidikan dan pembangunan (R&D), tiada inisiatif untuk meningkatkan prestasi perkhimatan, mungkin kita akan mengalami krisis yang kritikal untuk berhadapan dengan situasi pandemik COVID-19.

“Sebab itu saya seringkali menekankan perlunya aspek pendigitalan perkhidmatan dan penggunaan teknologi terkini agar dapat dicapai oleh rakyat pada bila-bila masa,” tambah beliau.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman), Datuk Talib Zulpilip, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Datu Zaidi Mahdi, Pengarah Tanah dan Survei Sarawak, Abdullah Julaihi, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia, Professor Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan tetamu kehormat yang lain. –EDISI UKAS

Share
0

add comment