Pekan Debak Perlukan Kemudahan ATM, Permudah Urusan Penduduk

ISNIN, 6 SEPTEMBER 2021

DEBAK: Perkhidmatan kiosk ATM perlu diwujudkan di Pekan Debak untuk memudahkan urusan perbankan lebih 15,000 penduduk di Daerah Debak.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohammad Razi Sitam, selain kepadatan penduduk, kemudahan itu juga penting susulan pembangunan yang pesat di daerah tersebut.

Bercakap ketika ditemui selepas meninjau cadangan tapak permis untuk perkhidmatan tersebut di Bangunan Serbaguna Komuniti Debak & Dewan Perpaduan Debak pada Jumaat, beliau menambah, antara pembangunan yang sedang dilaksanakan di daerah Debak termasuk Projek Pembinaan Jalan Suri ke Tuie.

Ujarnya, projek tersebut akan memendekkan jarak perjalanan dari 40 kilometer ke sembilan kilometer bakal merancakkan lagi aktiviti ekonomi terutamanya dalam sektor pelancongan.

Selain itu, katanya, Projek Agropark Saribas yang dilaksanakan turut menjadi pemangkin kepada sosio-ekonomi penduduk.

Oleh yang demikian, Mohammad Razi berharap pihak perbankan terutamanya Agrobank dapat menunaikan hasrat penduduk Debak mendapatkan perkhidmatan ATM di Pekan Debak. -EDISI UKAS

Share
0

add comment