Ahli Parlimen Lawas Tinjau Mangsa Rumah Dihempap Pokok Durian, Tanah Susur Kampung Bukit Naga

SELASA, 7 SEPTEMBER 2021

LAWAS: Sebuah rumah mengalami kerosakan teruk akibat dihempap sebatang pokok durian besar baru-baru ini. 

Menurut Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, pihaknya akan mencari jalan untuk meringankan beban mangsa khususnya dalam mendirikan sebuah rumah baru bagi menggantikan rumah yang musnah itu. 

Mangsa Jali Sablee dan Lizam bin Jiman dari Kampung Sualai, Jalan Punang bersama keluarga tidak mengalami sebarang kecederaan. 

Ketika kejadian, tiada penghuni berada dalam rumah tersebut.

Sebelum ini, beberapa pihak telah membantu memberikan sumbangan bagi meringankan beban mangsa. 

Selepas itu, Dato Henry telah bergerak ke Kampung Bukit Naga, Jalan Punang bagi meninjau tanah susur. 

Dalam tinjauan itu, tanah susur kelihatan merbahaya kerana   berlaku di lereng bukit curam dan hanya beberapa meter sahaja dari tepi Jalan Punang ke Bandar Lawas.

Justeru, beliau telah meminta pihak berkuasa memasang tanda  keselamatan bagi menunjukan bahaya supaya para pengguna jalanraya terus berhati-hati apabila melalui lokasi ini.

Ketika ini tanah susur itu hanya di selimuti dengan kain kanvas sepanjang 50 meter sementara menunggu tindakan susulan dilakukan dalam masa terdekat ini.-EDISI UKAS

Share
0

add comment