Ibu Bapa Perlu Manfaatkan Program Pemvaksinan Remaja 18 Tahun Ke Bawah Demi Keselamatan Bersama

SELASA, 7 SEPTEMBER 2021

KUCHING: Keputusan kerajaan membenarkan remaja di bawah umur 18 tahun menerima suntikan vaksin COVID-19 bermula Rabu ini di Sarawak disambut baik. 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abg Hipni, sudah tiba masanya golongan remaja ini menerima vaksin COVID-19 selepas golongan dewasa di Sarawak telah mencapai 80 peratus imuniti kelompok. 

“Pengumuman Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada Sabtu lepas itu harus dimanfaatkan sepenuhnya ibu bapa dan penjaga dalam memastikan keselamatan anak-anak dilindungi. 

“Selain melindungi diri daripada kesan wabak pandemik COVID-19, vaksin ini juga jalan terbaik untuk mereka menyambung kembali sesi persekolahan akan datang. 

“Untuk itu, ibu bapa memainkan peranan dengan membenarkan anak-anak mereka mendapatkan vaksin COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai pemvaksinan kepada remaja di bawah umur 18 tahun pada Selasa. 

Untuk rekod, setakat ini kerajaan hanya meluluskan penggunaan vaksin jenis Pfizer-BioNTech buat remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

Dalam pada itu, ujar Dr Hazland lagi, Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Demak Laut telah menyerahkan bantuan makanan kepada penduduk Kampung Tanjung Bako yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu bermula Isnin. 

“Jangkitan COVID-19 diperoleh dari tempat kerja sebelum menular dalam komuniti di Kampung Tanjung Bako. 

“Sehubungan itu, bantuan makanan ini akan diagihkan kepada 340 Ketua Isi Rumah (KIR) merangkumi 2,000 penduduk. 

“Terima kasih kepada agensi terlibat seperti Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Sarawak, Pejabat Residen Samarahan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Tabung Baitulmal, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tanjung Bako dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dalam membantu mengagihkan bantuan makanan ini,” ujarnya.-EDISI UKAS

Share
0

add comment