Kerajaan Sarawak Terus Komited Bantu Komuniti Perniagaan Yang Terjejas Menerusi BKSS

SELASA, 7 SEPTEMBER 2021

KUCHING: Kerajaan Sarawak terus komited membantu komuniti perniagaan di negeri ini yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerajaan negeri telah melaksanakan bantuan di bawah Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 1.0 hingga BKSS 7.0 dengan jumlah bantuan keseluruhan yang bernilai RM5.3 bilion untuk meringankan bebanan yang dihadapi oleh rakyat termasuk golongan peniaga.

Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, Terminal Perindustrian Dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) itu menambah, terdapat pelbagai program bantuan yang dilaksanakan oleh kementeriannya dan antara program itu adalah Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS).

“Kita telah diberi kelulusan untuk SKMS bagi usahawan B40, pengusaha mikro dan kecil sebanyak RM100 juta, di mana RM50 juta sudah diterima yang disalurkan kepada kementerian kita dan baki akan disalurkan secara berperingkat.

“Setakat ini, kesemua 1,463 peminjam yang diluluskan di bawah SKMS sedang menikmati subsidi kadar faedah bagi tempoh tiga tahun setengah atau 42 bulan.

“Dalam masa yang sama, permohonan baru yang diluluskan sehingga 31 Disember 2021 layak menikmati bantuan subsidi faedah selama 42 bulan,” katanya dalam sidang media mengenai pelaksanaan BKSS untuk komuniti peniaga Sarawak di Wisma Sumber Alam, di sini pada Selasa.

Sementara itu, Datuk Amar Awang Tengah memberitahu, bagi Skim Pinjaman Industri Kecil Dan Sederhana (SPIKS) untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Bumiputera pula, sebanyak RM20 juta tambahan akan disalurkan secara berperingkat dan setakat ini sebanyak 411 permohonan telah diluluskan yang melibatkan nilai sebanyak RM30.13 juta.

Selain  itu, kerajaan negeri turut menawarkan bantuan seperti Program Graduan Ke Arah Keusahawanan (GERAK), Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV), Kemudahan Bantuan Khas (SRF), Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) (TRRF), dan Pembiayaan Pelancongan (PTF).

Sehubungan itu, beliau berkata, kementeriannya akan sentiasa meneliti keberkesanan inisiatif-inisiatif BKSS dan berharap agar bantuan-bantuan yang disediakan oleh kerajaan Sarawak akan dapat membantu meringankan beban yang dihadapi oleh rakyat termasuklah golongan usahawan ketika pandemik COVID-19 ini.

Turut hadir, Menteri Muda MINTRED, Datuk Mohd Naroden Majais dan Setiausaha Tetap MINTRED, Datu Liaw Soon Eng.-EDISI UKAS

Share
0

add comment