KM Terima Kunjungan Hormat Sarawak Journalists Association, Serah Cek Anugerah Kewartawanan Kenyalang 2021

SELASA, 07 SEPTEMBER 2021

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah menerima kunjungan hormat daripada Persekutuan Persatuan Wartawan Sarawak (FSJA) di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia pada Selasa.

Kunjungan hormat yang diketuai Presiden FSJA, Jacqueline Nur Atiqah itu bertujuan menjemput Datuk Patinggi Abang Zohari sebagai tetamu kehormat pada Ulang Tahun Ke-40 Anugerah Kewartawanan Kenyalang (KJA) 2021 pada 4 Disember nanti yang akan diadakan secara maya.

Pada majlis itu, Ketua Menteri telah menyerahkan cek berjumlah RM100,000 sumbangan Kerajaan Sarawak yang merupakan penaja utama dalam majlis berprestij tersebut.

Semenjak tahun 2015, Kerajaan Sarawak telah membiayai penganjuran tersebut selain penajaan Petronas, Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Shell Malaysia.

Menurut Presiden FSJA, Jacqueline, sebanyak 11 kategori akan dipertandingkan dalam Kenyalang Journalism Award 2021.

“Sekarang ini, kita ada 11 kategori semuanya untuk dipertandingkan dalam Kenyalang Journalism Award, antaranya Anugerah Ketua Menteri, tiga daripadanya di bawah tajaan Petronas, SEB mengambil topik kestabilan dan Shell dengan topik perniagaan.

“Jadi, wang tunai yang boleh dimenangi pada waktu itu ialah RM231,000,” jelasnya semasa ditemu bual media selepas kunjungan hormat itu.

Penyertaan untuk Anugerah Kewartawanan Kenyalang 2021 telah dibuka untuk penyertaan bagi penerbitan bermula 16 Ogos 2020 sehingga 31 Ogos 2021.-EDISI UKAS

Share
0

add comment