MRC Malaysia Cawangan Miri Dan NSJA Anjur Derma Darah Hari Malaysia Ahad Ini

SELASA, 7 SEPTEMBER 2021

MIRI: Bulan Sabit Merah (MRC) Malaysia Cawangan Miri dan Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) akan menganjurkan Derma Darah Hari Malaysia di Institut Latihan MRC pada Ahad ini. 

Dalam kenyataan media pada Selasa berkata, Derma Darah Hari Malaysia 2021 ini disokong Bank Darah Hospital Miri dan ditaja The Twin Brothers Patisserie, Julie’s Manufacturing Sdn Bhd, Awesome Bakery By Jolene dan NSJA.

Setiap penderma yang berjaya menderma darah masing-masing akan menerima 1kg beras, roti putih, kek, topeng muka dan pelbagai barangan lain.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengambilan Penderma Darah MRC Miri Karambir Singh berkata, hampir 5,800 warga Miri telah menderma darah di MRC Cawangan Miri dalam tempoh 18 bulan terakhir sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac tahun lalu.

“Sehingga Ahad lepas, 143 kempen derma darah telah dianjurkan di MRC Cawangan Miri sejak 25 Mac 2020,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada anggota NSJA dan Presidennya Andy Jong kerana telah secara aktif mempromosikan semua derma darah melalui surat khabar masing-masing.

Sehingga kini seramai 6,862 orang telah tampil sebagai penderma dan 5,784 orang berjaya menderma darah untuk Bank Darah Hospital Miri.

Dalam pada itu, sesuai dengan situasi semasa dan Prosedur Operasi Standard (SOP), penderma darah perlu melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 sebelum dibenarkan menderma darah. 

Tambah Karambir lagi, menerusi penganjuran Derma Darah Hari Malaysia, diharap lebih ramai penderma darah tampil ke hadapan dalam usaha menstabilkan bekalan darah di Bank Darah Hospital Miri. 

“Derma darah adalah perkhidmatan penting untuk menjaga bekalan darah yang mencukupi di bank darah.

“Setiap titisan darah menyelamatkan nyawa dan berharap lebih banyak yang tampil memberikan sokongan mereka dengan memberi sumbangan,” ujarnya.

Pusat derma darah di Institut Latihan MRC dibuka kepada orang ramai untuk menderma darah setiap hari Sabtu dan Ahad dari jam 8.30 pagi hingga 1 tengah hari.

Untuk maklumat lebih lanjut, hubungi bank darah Hospital Miri di talian 085-416 657, kakitangan MRC Miri di talian 085-420236 pada waktu pejabat atau Karambir sendiri di talian 016-878 5500.-EDISI UKAS

Share
0

add comment