SELASA, 7 SEPTEMBER 2021
BINTULU: Pengguna dan pemain industri telah menyambut baik dan memberi maklum balas positif terhadap pengumuman penetapan harga maksimum kit ujian pantas antigen COVID-19 (ujian kendiri) di bawah Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011.
Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Bintulu, Nazari Hassan berkata, pihaknya berharap, kerjasama daripada pihak industri ini akan dapat membantu mengurangkan kos kepada rakyat bagi mendapatkan kit ujian sendiri ini dengan harga yang murah dan berpatutan.
Jelas beliau, setakat Isnin, KPDNHEP Cawangan Bintulu telah membuat pemeriksaan secara berterusan ke atas 25 premis dan farmasi yang menjual Kit Ujian Pantas Antigen COVID-19 (Ujian Sendiri).
“Kesemua premis dan farmasi di seluruh Bintulu didapati mematuhi harga runcit yang telah ditetapkan iaitu dengan harga RM19.90 dan bagi harga borong pula sebanyak RM16.00 bagi setiap unit.
“Untuk makluman pengguna, mereka tidak perlu risau kerana stok kit ujian sendiri ini adalah mencukupi dan mudah diperolehi di kebanyakan farmasi di sekitar Bintulu ini,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Isnin.
Beliau menambah, walaubagaimanapun pengguna dinasihatkan untuk menyalurkan aduan sekiranya terdapat peniaga yang gagal mematuhi penetapan harga dan menjual kit ujian tersebut dengan harga lebih dari harga yang telah ditetapkan.
“Peniaga diingatkan untuk mematuhi penetapan harga yang telah ditetapkan. Harga maksimum yang ditetapkan bagi Kit Ujian Pantas Antigen COVID-19 (Ujian Sendiri) ialah RM19.90 bagi peringkat runcit dan RM16.00 bagi peringkat borong.
“KPDNHEP membenarkan tempoh sehingga seminggu kepada peniaga dan semua pihak terlibat untuk membuat penyesuaian dan penyelarasan harga.
“Tempoh kelonggaran yang sama juga akan dilaksanakan oleh pasukan penguatkuasa dari tarikh kuat kuasa harga maksimum kit ujian sendiri ini bermula pada 5 September 2021,” jelas beliau lagi.
Ujarnya lagi, pengguna juga disarankan untuk mendapat hanya kit ujian yang diluluskan oleh badan yang bertanggungjawab sahaja.-EDISI UKAS