Program Vaksinasi Remaja 16 Hingga 17 Tahun Bahagian Miri Bermula 10 September Ini

SELASA, 7 SEPTEMBER 2021

MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri mengumumkan pemberian suntikan vaksin COVID-19 bagi pelajar yang berumur 16 hingga 17 tahun akan bermula pada 10 September 2021. 

Menteri Bertanggungjawab JPBB Miri Datuk Lee Kim Shin  dalam kenyataan media pada Selasa berkata, pemberian suntikan vaksin ini akan dilakukan di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam dan Klinik Kesihatan di kawasan pedalaman. 

“Pemberian suntikan vaksin COVID-19 yang melibatkan pelajar-pelajar berumur 16 hingga 17 tahun akan dilakukan di PPV Awam di kesemua daerah dalam Bahagian Miri bermula 10 hingga 12 September 2021.

“Manakala, bagi sekolah di kawasan pedalaman seperti Long San dan Long Panai pula, pemberian suntikan vaksin akan dilakukan di Klinik Kesihatan Long San (PPV Long San) dan Klinik Kesihatan Long Panai (PPV Long Panai). 

“Janji temu vaksinasi akan dimaklumkan pihak sekolah kepada ibu bapa dan penjaga,” katanya dalam mesyuarat JPBB Miri yang turut dihadiri wakil dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Miri, Subis dan Baram pada petang Ahad.

Tambah beliau lagi suntikan vaksin COVID-19 akan turut diberikan kepada semua pelajar berumur 12 hingga 17 tahun yang mempunyai comorbid (keadaan di mana seorang individu mempunyai lebih daripada dua penyakit serentak) seperti darah tinggi, kencing manis, Orang Kurang Upaya (OKU) dan sebagainya termasuklah obesiti dan akan diberikan di Hospital Miri. 

Mengulas lanjut mengenai tarikh tersebut, Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak berkata pemilihan tarikh tersebut memudahkan ibu bapa dan penjaga membawa anak-anak mendapatkan vaksin. 

“Rasional pemilihan tarikh ini adalah untuk memudahkan ibu bapa dan penjaga membawa anak-anak mereka untuk mendapatkan vaksinasi.  

“Di samping, itu kita juga memberikan masa yang mencukupi kepada pihak sekolah di pedalaman untuk memaklumkan ibu bapa pelajar serta mengatur pelajar bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19,” jelasnya. 

Dalam pada itu, beliau turut meminta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dapat mengenal pasti anak-anak muda di kawasan masing-masing yang berumur 16 hingga 17 tahun yang tidak bersekolah dan selanjutnya memberikan maklumat tersebut kepada Pejabat Daerah masing-masing untuk tujuan Program Imunisasi COVID-19. 

Hadir sama Pemangku Residen Bahagian Miri, Jamalie Busri dan semua jabatan dan agensi di bawah JPBB Miri. -EDISI UKAS

Share
0

add comment