Program Vaksinasi Suntikan Dos Kedua Komuniti Gelandangan Bahagian Sibu

SELASA, 7 SEPTEMBER 2021

SIBU: Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah turun padang bagi meninjau modus operandi program vaksinasi suntikan dos kedua COVID-19 untuk komuniti gelandangan di Sibu, pada Isnin.

Beliau memberitahu, ia adalah matlamat Kerajaan Negeri untuk memastikan tiada rakyat Sarawak yang tertinggal mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 demi mencapai sasaran imuniti kelompok.

“Ini adalah operasi memvaksinasi komuniti gelandangan melibatkan 15 orang untuk bahagian Sibu dan dos pertama sudah dilakukan sebelum ini.

“Pada hari ini (Isnin) adalah operasi vaksinasi suntikan dos kedua pula,” katanya.

Dato Sri Fatimah memberitahu, program vaksinasi bagi komuniti gelandangan tersebut telah bermula sejak bulan Julai lepas melalui cerapan atau pemerhatian sebagai persiapan penentuan lokasi dan jumlah gelandangan di Sarawak.

“Setakat 3 September 2021, seramai 121 orang gelandangan telah dikenalpasti dan didaftarkan melalui operasi cerapan gelandangan di semua bahagian di Sarawak secara berkala sejak 25 Julai 2021,” tambah beliau.

Jelasnya, operasi pencarian gelandangan bagi memberikan suntikan vaksin dos kedua kepada gelandangan ini turut dibantu pihak Polis DiRaja Malaysia bagi menjaga keselamatan sekaligus melancarkan operasi tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. – EDISI UKAS

Share
0

add comment