Waris Allahyarham Saufi Aiman Terima Faedah Caruman PERKESO

SELASA, 7 SEPTEMBER 2021

KUCHING:  Allahyarham Saufi Aiman yang merupakan seorang pemain sape profesional dari Sarawak menerima faedah caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Pengarah Perkeso Sarawak, Philip Sangkan menyampaikan faedah caruman sebanyak RM2,000 kepada waris Allahyarham Saufi dan disaksikan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah di Bangunan Baitulmakmur II di sini pada Selasa.

Allahyarham sebelum ini telah mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri sebagai seorang Berinsurans yang Bekerja Sendiri (OBBS) bermula pada 2 Jun 2021 di bawah sektor kesenian.

Caruman yang dibayar di bawah skim tersebut masih dalam tempoh perlindungan dan ini melayakkan waris orang berinsurans layak menerima faedah Orang Tanggungan dibawah Skim Bencana Pekerjaan, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Sumbangan sebanyak RM2,000 bersama bayaran faedah pencen bulanan sepanjang hayat tersebut diberikan kepada ibu bapa Allahyarham tersebut.

Allahyarham Saufi yang pernah dinobatkan sebagai Juara dunia instrumentalis untuk kategori klasik kontemporari Seni kejohanan Dunia (WCOPA) 2017 ditemui tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia pada pukul 8 malam di pejabat Persatuan Anak Seni Sape Kuching pada Jun Lalu. -EDISI UKAS

Share
0

add comment