Kerajaan Sarawak Belanja RM6 Juta Tanam Tukun Tiruan

RABU, 8 SEPTEMBER 2021

MUKAH: Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Perikanan Laut Sarawak telah membelanjakan sebanyak RM6 juta bagi menanam tukun tiruan dan tukun rekreasi di perairan laut Kuala Mukah dan di perairan Laut Penipah yang dilaksanakan sejak 2006 hingga sekarang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata dengan penanaman tukun-tukun berkenaan akan membantu meningkatkan taraf ekonomi nelayan di kawasan Balingian dan Mukah selain mengangkat kawasan Penipah sebagai tarikan kepada pencinta aktiviti memancing.

“Dengan adanya tukun tiruan dan tukun jenis rekreasi akan meningkatkan ekonomi nelayan di kawasan ini. Mungkin akan juga akan mengangkat habitat ikan lebih banyak lagi dari biasa.

“Dengan perbelanjaan yang agak besar, ini akan memanfaatkan terutama para nelayan di kawasan Balingian dan Mukah,” katanya kepada UKAS semasa merasmikan Program Melabuh Tukun Tiruan Jenis Penghalang Pukat Tunda di Perairan Laut Kuala Mukah dan Tukun Tiruan Jenis Rekreasi di Perairan Laut Penipah, Mukah, Sarawak bagi tahun 2021 pada Rabu.

Menurutnya, berdasarkan perancangan, tukun tiruan ini akan ditanam dari Kuching hingga ke Lawas secara berperingkat-peringkat.

Sebanyak 25 unit Tukun Tiruan Penghalang Pukat Tunda dan 40 unit Tukun Tiruan Rekreasi dengan kos sebanyak RM887,845 dilepaskan pada program tersebut. – EDISI UKAS

Share
0

add comment