Sarawak Negeri Pertama Laksana Program Vaksinasi Remaja Bawah Umur 18 Tahun

RABU, 08 SEPTEMBER 2021

KUCHING: Sarawak menjadi negeri pertama di Malaysia melaksanakan program vaksinasi kepada remaja berumur 16 hingga 17 tahun.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata program vaksinasi tersebut dilaksanakan di enam bahagian iaitu Kuching, Sri Aman, Serian, Sarikei, Sibu dan Bintulu.

“Hari ini kita sedang beri vaksinasi kepada mereka yang berumur 16 hingga 17 tahun yang pertama di Malaysia, kita yang mula di Sarawak dan hari ini ia dilaksanakan atau dijalankan program imunisasi ini di enam bahagian iaitu bahagian Kuching, bahagian Sri Aman, Serian, Sarikei, Sibu dan Bintulu, hari ini program semua berjalan,” jelas beliau pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Vaksinasi Untuk Remaja Berumur Bawah 18 Tahun di Klinik Kesihatan Kampung Telaga Air pada Rabu.

Menurut Ketua Menteri, Sarawak akan mula memberi vaksin kepada remaja berusia 16 hingga 17 tahun serta remaja 12 hingga 15 tahun secara berperingkat bermula 8 September ini di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam, di sekolah-sekolah dan Klinik Kesihatan mengikut bekalan stok vaksin yang bakal diterima.

Tambah beliau lagi, bagi kawasan luar bandar pula, program ‘outreach’ akan digunakan dengan pergi ke sekolah yang terlibat dan memberikan suntikan kepada murid berumur 12 hingga 17 tahun terutama di bahagian Kapit yang melibatkan 16 sekolah dengan seramai 9,334 orang murid, serta Miri yang melibatkan dua sekolah dengan 207 orang murid.

Sementara itu, Ketua Menteri menjelaskan, setakat 7 September 2021, Sarawak telah mencapai peratusan liputan dos kedua sebanyak 89 peratus bagi individu dewasa yang layak sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 65.2 peratus bagi seluruh populasi di Sarawak. – EDISI UKAS

Share
0

add comment