Seramai 289,200 Remaja Berusia 12 Hingga 17 Tahun Di Sarawak Divaksin Mulai Hari ini

RABU, 8 SEPTEMBER 2021

KUCHING: Seramai 289,200 orang remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun akan mendapat suntikan vaksin secara berperingkat menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Sarawak bermula Rabu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dato Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2021, kumpulan remaja berusia 16 hingga 17 tahun adalah seramai 96,400 meliputi 3.4 peratus populasi penduduk Sarawak.

Manakala ujarnya, kumpulan remaja berusia 12 hingga 15 tahun pula adalah seramai 192,800 atau 6.9 peratus daripada populasi penduduk negeri ini.

“Pada peringkat awal, program imunisasi untuk remaja akan menyasarkan dua kumpulan sasar iaitu semua remaja berusia 12 hingga 15 tahun yang berkomorbid dan remaja berusia 16 hingga 17 tahun.

“Bagi pemberian imunisasi COVID-19 bagi kumpulan remaja berusia 12 hingga 15 tahun yang sihat dijadualkan bermula pada penghujung September 2021 bergantung kepada stok bekalan vaksin,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Dato Dr Mohamed menambah, program imunisasi tersebut akan dilaksanakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam, sekolah-sekolah dan klinik-klinik kesihatan yang telah dikenal pasti oleh Pejabat Kesihatan Bahagian dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian.

Manakala jelasnya, bagi Klinik kesihatan pula akan memberikan perkhidmatan asrama yang masih berada di kampung termasuk remaja yang tidak bersekolah.

“Matlamat program imunisasi di kalangan remaja di Sarawak adalah untuk memastikan remaja 16 hingga 17 tahun akan lengkap menerima imunisasi sebelum sesi persekolahan bermula pada 3 Oktober 2021.

“Manakala bagi remaja 12 hingga 15 tahun dijangka bermula pada minggu keempat Oktober iaitu dari 22 hingga 26 Oktober depan,” ujarnya.

Sementara itu katanya, bagi memastikan kejayaan program imunisasi remaja ini, para petugas di Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak telah dilatih untuk mengendalikan Sistem Pengurusan Pemberian Imunisasi COVID-19 murid sekolah.-EDISI UKAS

Share
0

add comment