RABU, 8 SEPTEMBER 2021
ENGKILILI: Seramai 342 orang remaja berusia 16 hingga 17 tahun menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Serbaguna Engkilili pada Rabu.
Kesemua mereka yang hadir ditemani oleh penjaga masing-masing dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Turut hadir memantau proses pemberian vaksin itu adalah Pegawai Kesihatan Bahagian Sri Aman, Dr Euphrasia Bari, Penyelaras Program Vaksinasi Kebangsaan COVID-19 Sri Aman, Dr Janariah Jangani dan wakil dari Pejabat Pendidikan Daerah Lubok Antu.
Proses pemberian vaksin berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang amat menggalakan.
Sementara itu, bagi Catalina Tabok yang berasal dari Rumah Jembu Semanju Bilapatong Engkilili berkata, dia amat teruja selepas menerima dos pertama vaksin COVID-19.
Katanya, suntikan vaksin dapat membantu dalam mengekang penularan wabak COVID-19 sekaligus mewujudkan imuniti kelompok dalam komuniti.
Untuk rekod, Sarawak telah dipilih sebagai perintis bagi pemberian vaksin bagi remaja yang berumur 16 hingga 17 tahun berdasarkan kepada pencapaian melebihi 80 peratus imunisasi kelompok bagi penerima dewasa. -EDISI UKAS