2,838 Pelajar SMK Kapit No 2 Dan SMK Kapit Akan Mendapat Suntikan Vaksin

KHAMIS, 9 SEPTEMBER 2021

KAPIT: Seramai 2, 838 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kapit No 2 dan SMK Kapit akan menerima suntikan vaksin COVID-19 dalam Program Imunisasi Kepada Remaja Peringkat Bahagian Kapit hingga Sabtu ini.

Hari pertama program pada Khamis melibatkan seramai 483 pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 SMK Kapit No 2 dan 599 pelajar dari tingkatan sama SMK Kapit telah mendapat suntikan vaksin.

Manakala pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 kedua-dua buah sekolah tersebut akan mendapatkan suntikan vaksin pada Jumaat dan Sabtu ini.

Salah seorang pelajar SMK Kapit No. 2, Nur Camilya Sidek ketika ditemui merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan di atas usaha mengadakan program tersebut di sekolah mereka.

“Terima kasih kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menganjurkan program ini untuk pelajar sekolah.

“Saya juga berharap rakan-rakan yang lain turut mendapat suntikan vaksin COVID-19 demi keselamatan diri dan keluarga,” ujarnya.

Sementara itu, guru SMK Kapit No.2, Sidek Pawi berharap ibu bapa memberi sokongan kepada para pelajar untuk memastikan mereka mengambil suntikan vaksin COVID-19.

“Kita menyarankan ibu bapa memberi sokongan yang padu kepada anak mereka untuk menerima suntikan vaksin ini khususnya sebagai persediaan sebelum sekolah dibuka tidak lama lagi,” katanya.

Dalam pada itu Pegawai Tadbir, Pejabat Daerah Kapit merangkap Ahli JawatankuasaPengurusan Bencana Covid-19 Daerah Kapit, Bidah Lujah turut menyeru ibu bapa yang mempunyai anak berumur 12 hingga 17 tahun membenarkan anak mereka mendapatkan vaksin. -EDISI UKAS

Share
0

add comment