409 Pelajar SMK Bandar Samariang Terima Vaksin Dos Pertama

KHAMIS, 9 SEPTEMBER 2021

KUCHING: Seramai 409 orang pelajar menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Samariang pada Khamis.

Program vaksinasi tersebut bermula pada pukul 9 pagi dengan pemberian vaksin terhadap pelajar Tingkatan 4 dan diikuti dengan pelajar Tingkatan 5.

Penyelaras Program Vaksin SMK Bandar Samariang, Dr Syafiq Nasaruddin turut hadir bagi memastikan operasi pemvaksinan berjalan lancar.

Sementara itu, Pengetua SMK Bandar Samariang, Jaaffar Billal berkata, pemberian vaksin kepada pelajar berjalan dengan lancar dan teratur mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Ibu bapa yang hadir mengiringi anak-anak mereka juga merakamkan penghargaan kepada kerajaan yang memberikan suntikan vaksin kepada para pelajar berusia 16 hingga 17 tahun dahulu. -EDISI UKAS