KHAMIS, 09 SEPTEMBER 2021
KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima kunjungan hormat daripada Lembaga Sumber Asli Dan Alam Sekitar (NREB) di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Khamis.
Kunjungan hormat yang diketuai oleh Kontroller Kualiti Alam Sekitar Sarawak, Peggy Ronin Edin adalah bertujuan bagi menjemput Ketua Menteri menghadiri Anugerah Alam Sekitar Ketua Menteri Sarawak (CMEA) yang ke-9 bagi sesi 2019/2020 pada 13 September depan.
CMEA ke-9 itu juga akan diadakan secara hibrid iaitu secara fizikal dan juga menerusi aplikasi Zoom dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Sementara itu menurut Peggy, mereka telah berkolaborasi bersama Persatuan Perniagaan Sarawak (SBF) sejak 2017 di mana CMEA bertujuan untuk menggalakkan sektor perniagaan, sektor perindustrian, sektor swasta dan sektor awam serta individu di Sarawak agar mencapai kemajuan dengan mengutamakan pengurusan alam sekitar yang baik.
“Kerajaan negeri telah memperkenalkan anugerah ini di mana ianya merupakan satu pengiktirafan buat industri tempatan, pembuatan makanan, dan individu dalam usaha mereka menguruskan alam sekitar dengan baik,” jelasnya.
Dalam pada itu, terdapat beberapa kategori yang bakal dipertandingkan dengan tema “Enhncing Environmental Stewardship”, antaranya Anugerah Ketua Menteri yang khusus untuk perniagaan besar, perniagaan sederhana, perniagaan kecil, pihak berkuasa tempatan, individu dan perusahaan kedai makan. -EDISI UKAS