Inisiatif Jabatan Pertanian Sarawak Dan PPK Beli Hasil Tanaman Pekebun Kecil Dihargai

KHAMIS, 9 SEPTEMBER 2021

LAWAS: Keputusan Kerajaan Sarawak menerusi Jabatan Pertanian Sarawak dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) membeli hasil tanaman pekebun kecil dalam situasi pandemik COVID-19 sangat dihargai.

Nancy Palong yang merupakan pengusaha ladang buah-buahan dari Kampung Munchu mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak dan PPK Daerah Lawas yang telah mengambil inisiatif membeli hasil tanaman mereka. 

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak  dan PPK Lawas yang selama ini telah membeli hasil tani mereka.

“Sebelum ini, tiada tempat lain yang sanggup membeli hasil tani mereka dalam kuantiti yang banyak.

“Keprihatinan dalam membantu pekebun kecil sangat dihargai lebih-lebih lagi yang terkesan akibat pendemik ini,” katanya semasa ditemui selepas menjual hasil buah-buahan di Pejabat PPK Lawas pada Rabu. 

PPK Lawas telah membuka perkhidmatan menerima dan membeli hasil tani pekebun kecil setiap minggu. 

Ketika pandemik COVID-19, Pasar Tani Minggu yang menjadi tempat mereka menjual dan memasarkan hasil tanaman tidak dibenarkan beroperasi sebagai mengekang penularan COVID-19. 

Hasil tanaman dibeli Jabatan Pertanian Sarawak dan diserahkan kepada PPK sebelum disalurkan kepada penerima melalui  program ‘Peladang Prehatin Sarawak’.-EDISI UKAS

Share
0

add comment