Kaedah Mopping Diguna Dalam Program Vaksinasi Pelajar Di Sibu

KHAMIS, 9 SEPTEMBER 2021

SIBU: Program vaksinasi secara ‘mopping’ akan dilaksanakan kepada pelajar-pelajar di Sibu yang tidak datang untuk menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang telah ditetapkan.

Menurut Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dr Annuar Rapaee, pihaknya juga akan mengadakan program bersama guru sekolah untuk memberi kaunseling kepada pelajar bagi yang enggan menerima vaksin.

“Kita mesti mengetahui mengapa mereka tidak datang. Mungkin ada masalah pengangkutan atau sebagainya. Namun, kita juga akan mengadakan kaedah ‘mopping’ dan mereka juga boleh ‘walk-in’ selepas ini.

“Bagi yang menolak untuk menerima vaksin, kita akan mengadakan program bersama guru kaunseling di sekolah dan termasuk ibu bapa,” katanya kepada media semasa melawat program Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) untuk remaja berumur 16-17 tahun di PPV Dewan Suarah Sibu pada Rabu.

Sementara itu, wakil dari SMK Sacred Heart Sibu, Cikgu Dew Ka Yee amat berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana mengadakan program vaksinasi untuk para pelajar.

Katanya, program vaksinasi itu sangat penting sebagai persediaan pelajar untuk kembali ke sekolah yang dijangka bersambung semula pada Oktober depan.

Seramai 9289 pelajar berumur 16 hingga 17 tahun dari 33 sekolah menengah di Bahagian Sibu mula menerima vaksin yang diadakan di PPV Dewan Suarah Sibu, PPV Dewan Serbaguna Sibu Jaya dan PPV Dewan Pejabat Daerah Kanowit.

Untuk program pada hari tersebut, seramai 1625 pelajar dari SMK St Elizabeth, SMK Sacred Heart, SMK Bukit Lima dan SMK Methodist menerima vaksin jenis Pfizer-BioNTech.

Hadir sama Ahli Dewan Negara, Senator Robert Lau Hui Yew. – EDISI UKAS

Share
0

add comment