Kebenaran SEDC Energy Sdn. Bhd. Sebagai Syarikat Minyak Baharu

KHAMIS, 9 SEPTEMBER 2021

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Pengecualian Kawal Selia LPG Di Negeri Sarawak Dan Kebenaran SEDC Energy Sdn. Bhd. Menjadi Syarikat Minyak Baharu di Wisma Bapa Malaysia pada Khamis.

Beliau berkata, SEDC Energy Sdn. Bhd. merupakan satu lagi entiti yang akan menjadi pemain yang penting untuk memperkasakan industri gas dan ‘petrochemical’ di negeri ini yang juga mencerminkan peningkatan ‘ease of doing business’.

“Dengan peningkatan ‘ease of doing business’ yang terzahir daripada pengecualian pemakaian Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA) ini, saya juga berharap Kementerian Utiliti akan terus mengorak langkah ke arah mewujudkan ekosistem industri utiliti yang berdaya saing dan mampu menarik pelaburan.

“Di samping itu, ianya melindungi hak-hak pengguna gas dari aspek kesinambungan bekalan, kualiti gas dan perkhidmatan serta keselamatan pembekalan,” jelasnya.

Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, pengecualian tersebut juga merupakan pengikitirafan Kerajaan Persekutuan terhadap kemampuan Kerajaan Negeri untuk mengawal selia.

“Pengecualian ini merupakan pengikitirafan Kerajaan Persekutuan ke atas kapasiti Kerajaan Negeri serta kemampuan organisasi korporat termasuk rakyat Sarawak untuk mengawal selia dan mempunyai keterlibatan yang lebih bermakna dalam industri minyak dan gas di Negara ini.

“Kedua-dua perkara ini akan membolehkan Sarawak mengambil peranan yang lebih aktif dalam industri minyak dan gas sepertimana aspirasi Kerajaan Negeri selama ini demi kemajuan Sarawak dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, beliau menjamin Kerajaan negeri Sarawak akan sentiasa mengenalpasti peluang untuk menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) bagi menggalakkan pertumbuhan perdagangan dalam negeri demi kemajuan ekonomi Sarawak.

Dalam pada itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Dato Sri Alexander Nanta Linggi memaklumkan keputusan Kerajaan untuk memberikan kebenaran kepada SEDC Energy Sdn. Bhd. menjadi syarikat minyak yang terbaharu di negara ini sebagai bukti keyakinan terhadap kemampuan Kerajaan Negeri Sarawak dan SEDC dalam penglibatan perniagaan borong dan runcit minyak petroleum. –EDISI UKAS

Share
0

add comment