Pemberian Vaksinasi Remaja 16 Hingga 17 Tahun Bahagian Miri Bermula 10 September Ini

KHAMIS, 9 SEPTEMBER 2021

MIRI: Pemberian suntikan vaksin COVID-19 bagi remaja yang berumur 16 hingga 17 tahun di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bahagian Miri bermula 10 hingga 12 September 2021.

Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin dalam kenyataan media pada Khamis berkata, ibu, bapa atau penjaga perlu menemani anak-anak mereka yang akan menerima suntikan vaksin serta perlu membawa bersama dokumen pengenalan diri anak, ibu bapa dan penjaga, dan rekod perubatan anak (jika berkaitan). 

“Semua persiapan dan persediaan telah diatur rapi bagi program imunisasi yang melibatkan pelajar-pelajar di seluruh Bahagian Miri bermula esok (Jumaat).

“Bagi sekolah di kawasan pedalaman pula vaksinasi akan dibuat di Klinik-klinik Kesihatan yang telah ditentukan Pejabat Kesihatan Bahagian Miri,” katanya.

Tambah Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak menambah, suntikan vaksin COVID-19 turut diberikan kepada semua pelajar yang berumur 12 hingga 17 tahun. 

“Suntikan vaksin COVID-19 turut diberikan kepada semua pelajar yang berumur 12 hingga 17 tahun yang berkomorbid (seorang individu mempunyai lebih daripada dua penyakit serentak) seperti darah tinggi, kencing manis, Orang Kurang Upaya (OKU) dan sebagainya termasuk obesiti. 

“Pemberian vaksin COVID-19 akan diberikan di Hospital Miri mengikut janji temu yang telah ditetapkan,” tambahnya. 

Sementara itu, remaja yang berumur 16 hingga 17 tahun yang tidak bersekolah, mereka boleh mendapatkan vaksinasi secara walk-in di mana-mana PPV Awam yang berhampiran (kecuali kawasan-kawasan pedalaman). 

Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) seperti Ketua Kampung, Tuai Rumah dan Kapitan diminta untuk mengenal pasti anak-anak muda di kawasan masing-masing yang berumur 16 hingga 17 tahun dan tidak bersekolah. 

Maklumat berkenaan perlu diisi ke dalam borang yang disediakan dan dihantar ke Pejabat Daerah masing-masing untuk tujuan penyelarasan Program Imunisasi COVID-19.-EDISI UKAS

Share
0

add comment