Penduduk Di Sepanjang Sungai Tutoh Dan Sungai Baram Terjejas Akibat Banjir Terima Bantuan Makanan

KHAMIS, 9 SEPTEMBER 2021

MARUDI: Penduduk yang tinggal di sepanjang Sungai Tutoh dan Sungai Baram terjejas akibat banjir telah menerima bantuan makanan pada Rabu. 

Sebanyak 1,134 bungkus makanan telah diagihkan kepada beberapa buah kampung yang terjejas akibat banjir antaranya Rumah Asong Linei, Sekolah Kebangsaan (SK) Linei, Rumah Vincent Tanjung Upar, Sumah Jipun Sungai Gaong, Rumah Mugang Tanjung Upar, Lubok Tumau, Rumah Gerinang Logan Tasong, Long Patan, Long Maro dan Long Panai.

Turut juga menerima bantuan makanan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tutoh Apoh, SK Long Panai, klinik Long Panau, Klinik Long Panai, Long Pahlo, Long Ukok, SK Penghulu Baya Malang, Benawa, SK Benawa, Kuala Tutoh dan SK Kuala Tutoh. 

Bantuan makanan sumbangan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Marudi menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Marudi dihantar menggunakan kapal barang melalui jalan sungai.

Selain itu, JPBD Marudi juga menghantar bantuan makanan kepada penduduk menggunakan jalan darat khususnya di kawasan Puyut. 

Ketika ini beberapa kawasan masih lagi dinaiki air dan ianya tidak menghalang JPBD Marudi dan agensi di bawahnya mennghantar bantuan makanan kepada penduduk terjejas. 

Ini bagi memastikan penduduk yang terjejas banjir tidak menghadapi masalah khususnya mendapatkan bekalan makanan keperluan harian.-EDISI UKAS

Share
0

add comment