PPDA Bomba Zon 6 Miri Kerap Adakan Latihan, Aktiviti Menyelam Bersama Pasukan Penyelam Profesional Miri

KHAMIS, 9 SEPTEMBER 2021

MIRI: Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri Sarawak kerap mengadakan latihan dan aktiviti menyelam bersama pasukan penyelam profesional di Miri.

Pada Rabu, seramai 11 orang anggota Bomba dan tiga orang penyelam profesional telah menjalani latihan pengukuhan menyelam bersama pasukan penyelam profesional Kelab Co.Co Dive di Kolam Renang Kelab Gymkhana Miri (GCM).

Ketua JBPM Zon 6 Miri Sarawak, Penguasa Bomba Kanan 1, Law Poh Kiong ketika ditemui berkata, pasukan Bomba beruntung kerana Miri mempunyai pasukan penyelam yang aktif melatih pasukan selam Bomba dan kerap membawa penyelam Bomba membuat aktiviti menyelam.

“Bagi saya ini ada satu peluang yang amat baik untuk pasukan penyelam Bomba untuk berkenalan, mendapat kemahiran serta pengalaman dari pakar dan meningkatkan tahap keyakinan mereka.

“Di samping itu, pasukan Bomba juga dapat menguji tahap kesediaan anggota selam dan peralatannya setiap masa dan memastikan pasukan selam sentiasa berada tahap yang baik dan bersedia untuk beroperasi bila-bila masa sekiranya dipanggil,” katanya.-EDISI UKAS

Share
0

add comment