SACOFA Komited Sokong Dasar Ekonomi Digital Sarawak

KHAMIS, 9 SEPTEMBER 2021

KUCHING: Syarikat infrastruktur ICT terkemuka, SACOFA Sdn Bhd komited menyokong dasar ekonomi digital kerajaan negeri melalui pelaksanaan pelbagai strategi dalam memastikan seluruh Sarawak dihubungkan dengan rangkaian telekomunikasi dan internet.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SACOFA, Mohamed Zaid Zaini berkata pihaknya kini memfokuskan usaha untuk memperluaskan jaringan telekomunikasi dan internet di kawasan luar bandar menerusi projek Sarawak Rural Broadband Network (SRBN).

“Kita juga sangat menyokong agenda kerajaan negeri. Semua strategi kita selari dengan agenda Ketua Menteri khususnya dalam menyediakan jaringan telekomunikasi dan internet di kawasan pedalaman.

“Dalam tempoh sembilan bulan ini, kita sedang bekerja secara meluas dalam projek Sarawak Rural Broadband Network (SRBN). Kita bekerja bersama dengan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) dan Sarawak Multimedia Authority (SMA).”

Beliau berkata demikian semasa majlis penyerahan cek sumbangan SACOFA kepada Jawatankuasa Masjid Darul Al-Amin Kampung Semop yang diwakili Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan UKAS merangkap ADUN Semop, Abdullah Saidol pada Khamis.

Menyentuh lanjut, Zaid berkata SACOFA juga bakal menjadi penyedia penuh perkhidmatan telekomunikasi dengan siapnya perkhidmatan satelit VSAT yang sedang dalam pembinaan.

Malah SACOFA juga katanya mempunyai perkhidmatan sendiri iaitu SACOFA Open Fiber Infra Access atau SOFEA yang membolehkan jaringan fiber dipasang di kediaman.

“Ini adalah konsep di mana kita memasang fiber di rumah kediaman. Pada tahun ini sahaja sebanyak 8000 telah dipasang di rumah. Konsep ini baik kerana ia terbuka dan kita mempelawa penyedia perkhidmatan Internet untuk turut serta agar pengguna mempunyai pilihan.

“Kita juga ada ‘submarine’ yang menghubungkan Malaysia timur dan barat. Kabel ini sedang dinaiktaraf untuk membolehkan keupayaannya ditingkatkan dari kapasiti 500 gigabit ke 1 terabit di masa akan datang,” tambah beliau.

Jelasnya, Sarawak juga bersedia beralih ke perkhidmatan 5G selepas hampir 50 peratus menara telekomunikasi telah dihubungkan dengan jalur lebar.

Tambah Zaid, setakat ini, SACOFA mempunyai 11,000 km fiber dan 2000 menara telekomunikasi di seluruh Sarawak dan jumlah itu akan terus meningkat dari masa ke semasa.

Ujar beliau lagi, SACOFA juga aktif melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) menerusi inisiatif SACOFA4U seperti menyediakan perkhidmatan WiFi percuma dan komputer percuma kepada sekolah-sekolah di kawasan luar bandar.

Sementara itu, Abdullah menyatakan rasa gembira dan berpuas hati dengan komitmen SACOFA untuk meningkatkan keupayaan jaringan telekomunikasi dan internet di kawasan luar bandar.

Beliau turut menyentuh kerisauan pihak SACOFA berhubung isu vandalisme terhadap menara telekomunikasi yang menjadi punca perkhidmatan internet lemah di kawasan luar bandar.

“Saya juga ingin mengucapkan penghargaan atas kapasiti sebagai Setiausaha TEGAS atas inisiatif SACOFA dalam aktiviti CSR mereka yang memberi peralatan ke sekolah-sekolah dalam agenda kita untuk memperkasakan di peringkat sekolah dalam TVET, STEM dan inovasi.

“Saya harap ada lagi rakan-rakan dari warga korporat lain yang berminat untuk melakukan aktiviti yang serupa,” jelas Abdullah.

Terdahulu, Abdullah mengambil kesempatan merakamkan penghargaan kepada pihak SACOFA di atas sumbangan berjumlah RM5000 kepada Jawatankuasa Masjid Darul Al-Amin Kampung Semop.

Untuk rekod, Masjid Darul Al-Amin Kampung Semop musnah dalam kebakaran yang berlaku pada Ogos lepas. – EDISI UKAS

Share
0

add comment