Sambutan Hari Malaysia 2021 Peringkat Negeri Sarawak Sekali Lagi Diadakan Secara Hibrid

KHAMIS, 9 SEPTEMBER 2021

KUCHING: Sama seperti tahun lepas, sambutan perayaan Hari Malaysia peringkat negeri Sarawak pada tahun ini diadakan secara hibrid berikutan pandemik COVID-19 yang masih melanda.

Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak selaku menteri bertanggungjawab sambutan tersebut, Datuk Lee Kim Shin, sambutan tersebut akan diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Petra Jaya, Kuching dengan kehadiran tetamu jemputan yang dihadkan kepada 100 orang sahaja.

“Pada kali ini, sambutan Hari Malaysia diadakan secara hibrid memandangkan kita masih lagi dilanda pandemik COVID-19.

“Oleh itu, tetamu jemputan dihadkan kepada 100 orang sahaja dan tetamu kehormat adalah Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib.

“Turut hadir ialah Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Datuk Amar Juma’ni Tun Tuanku Bujang dan anggota kabinet negeri serta tetamu lain,” katanya dalam sidang media mengenai sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2021 di Wisma Bapa Malaysia, Kuching pada Khamis.    

Datuk Lee memberitahu lagi, sambutan itu juga akan disiarkan secara langsung melalui TV Sarawak (TVS), Facebook dan Youtube UKAS, serta Radio RTM pada malam 16 September nanti.

Beliau juga memberitahu lagi, tema sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak masih menggunakan tema yang sama iaitu ‘Malaysia Prihatin’.

“Dengan tema ‘Malaysia Prihatin’, sambutan Hari Malaysia 2021 kali ini mengajak seluruh rakyat Malaysia menanam semangat kenegaraan yang tinggi dan memupuk sifat prihatin dalam diri kita dalam menghadapi cabaran pandemik COVID-19.

“Tema ini mengambarkan apa yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang telah bersama-sama menghulurkan pelbagai bantuan dan mewujudkan pelbagai insiatif bagi meringankan beban rakyat.

“Tidak lupa juga rakyat, Badan Bukan Kerajaan (NGO), sukarelawan, agensi kerajaan, para petugas barisan hadapan yang turut  sama mempamerkan  sikap  keprihatinan ini,”jelasnya lagi.

Hadir sama dalam sidang media tersebut adalah Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus, Menteri Muda Kerajaan Tempatan Sarawak, Datu Dr. Pengguang Manggil dan Menteri Muda Pelancongan, Keseniaan dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.-EDISI UKAS

Share
0

add comment