Sarawak Terajui Pengeluaran Kelapa Sawit & Lada Hitam

KHAMIS, 09 SEPTEMBER 2021

KUCHING : Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima kunjungan hormat daripada Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi Malaysia, Datuk Zuraida Kamaruddin di pejabat Ketua Menteri di Wisma Bapa Malaysia, pada Khamis.

Dalam lawatan itu, Datuk Zuraida telah mengadakan perbincangan tentang hala tuju masa depan industri komoditi terutamanya kelapa sawit dan lada hitam di Sarawak.

Menurut beliau, Sarawak memainkan peranan yang penting  dalam menerajui pengeluaran kelapa sawit dengan pencapaian dan inovasi dan cara-cara baharu dalam meningkatkan produktiviti kelapa sawit dan lada hitam.

“Saya berasa gembira di mana Sarawak kini berada di dalam proses inovasi cara penuaian kelapa sawit menggunakan mesin agar tidak tergantung dengan tenaga kerja buruh tempatan yang kini agak berkurangan akibat pandemik COVID-19,” jelasnya dalam sidang media di Wisma Bapa Malaysia, di sini pada Khamis.

Sementara itu, beliau memberitahu, terdapat isu yang perlu diselaraskan di Sarawak di mana lebih kurang 900,000 hektar tanah hak adat bumiputera  (NCR) yang diduduki untuk dimanfaatkan bagi pelaburan dalam kelapa sawit.

Jelasnya, kementerian beliau akan cuba menyelaraskan polisi dalam mengendalikan tanah-tanah NCR dan tanah-tanah yang akan dimajukan untuk penanaman kelapa sawit.

Sejurus selepas itu, Ketua Menteri turut menerima kunjungan hormat daripada Menteri Bertanggungjawab Sambutan Hari Malaysia 2021, Datuk Lee Kim Shin.

Kunjungan tersebut turut disertai Oleh Menteri Muda Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Hajah Rosey Yunus, Menteri Muda Kerajaan Tempatan Sarawak, Datu Dr Pengguang Manggil, Menteri Muda Pelancongan, Keseniaan Dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Dan Menteri Muda Perancangan Luar Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh.-EDISI UKAS