Seramai 281 Pelajar SMK Gedong Disuntik Dos Pertama Vaksin Pfizer

KHAMIS, 9 SEPTEMBER 2021

GEDONG: Seramai 281 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gedong menerima suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer di Dewan Sri Gemilang SMK Gedong pada Khamis.

Pemberian vaksin tersebut dikhususkan kepada pelajar sekolah tingkatan 4 dan tingkatan 5 yang berumur 16 hingga 17 tahun dan telah dikendalikan oleh petugas Klinik Kesihatan Gedong.

Pengetua SMK Gedong, Abdul Wahab Bin Bujang berkata, beliau sangat berpuas hati dengan kehadiran pelajar-pelajar sekolah tersebut kerana hadir pada waktu yang ditetapkan dan mengikut jadual perjalanan proses suntikan vaksin tersebut.

Menurutnya, ia adalah salah satu inisiatif untuk mengelakkan kesesakan ditempat pemberian vaksin.

“Para pelajar juga harus ditemani oleh ibu bapa atau penjaga mereka untuk menandatangani surat pengesahan kebenaran anak mereka untuk menerima suntikan vaksin.

“Kita juga dapati tahap sokongan ibu bapa yang menemani anak masing-masing untuk menerima vaksin adalah tinggi dalam menjayakan program vaksinasi ini,” katanya.

Tinjauan yang dilakukan mendapati para pelajar dan ibu bapa juga sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. -EDISI UKAS

Share
0

add comment