KHAMIS, 9 SEPTEMBER 2021
TEBEDU: Seramai 389 orang pelajar dari daerah ini menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Masyarakat Tebedu pada Khamis.
Ketua Penyelaras PPV Dewan Masyarakat Tebedu, Dr. Shamira Muhammad Radzi berkata, kesemua pelajar yang hadir terdiri daripada mereka yang berusia 16 dan 17 tahun sahaja dan menetap di 17 kampung di Daerah Tebedu.
Malah katanya, bagi mana-mana individu yang tidak bersekolah juga akan diberikan suntikan vaksin.
“Bagaimanapun bagi pelajar yang sedang menjalani kuarantin atas sebab kampung mereka dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah disarankan tidak hadir ke PPV.
“Mereka perlu menunggu arahan selanjutnya daripada pihak Kesihatan Bahagian Serian,” katanya.
Sementara itu, semua pelajar yang hadir menerima vaksin wajib membawa penjaga kerana mereka perlu menandatangani surat pengesahan sebelum anak mereka diberi suntikan vaksin. -EDISI UKAS