Seramai 992 Pelajar Terima Dos Pertama Vaksin Di PPV Kompleks Sukan Asajaya

KHAMIS, 9 SEPTEMBER 2021

ASAJAYA: Seramai 992 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hajah Lalila Taib, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Asajaya dan remaja yang tidak bersekolah berumur 16 dan 17 tahun menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Sukan Asajaya pada Khamis.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkesempatan turun padang bagi meninjau Program Vaksinasi Pelajar Sekolah dan Remaja di PPV berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan Sarawak diringi oleh Residen Bahagian Samarahan, Brahim Lumpu, Pegawai Daerah Asajaya, Rais Ahmat dan Penyelaras PPV Kompleks Sukan Asajaya, Dr Peter Lau Uyueu Han.

Sementara itu, Datuk Abdul Karim berharap remaja yang berumur 16 dan 17 tahun yang tidak dapat dihubungi oleh pihak kesihatan khususnya remaja yang tidak bersekolah untuk hadir secara jumpa terus atau ‘walk in’ di PPV berkenaan.

Jelas beliau, inisiatif tersebut penting dalam usaha memutuskan rantaian wabak COVID-19 dan membentuk imuniti kelompok di kawasan Daerah Asajaya.

“Saya juga berharap ibu bapa memainkan peranan penting dengan membawa anak-anak mereka ke PPV Kompleks Sukan Asajaya untuk menerima suntikan vaksin,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras PPV Kompleks Sukan Asajaya, Dr Peter Lau Uyueu Han berkata, proses pemberian vaksin kepada pelajar dan remaja berjalan dengan lancar dan teratur mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ujarnya, semua pelajar dan remaja yang hadir telah ditemani ibu atau bapa atau penjaga untuk menandatangani borang persetujuan vaksin sebelum diberi suntikan vaksin. -EDISI UKAS

Share
0

add comment