10 Kampung Di Daerah Simunjan Jalani PKPD

JUMAAT, 10 SEPTEMBER 2021

SIMUNJAN: Sebanyak 10 buah kampung di Daerah Simunjan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula pada Jumaat.

Pegawai Daerah Simunjan selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Simunjan, Abdul Khalid Manap berkata, ekoran kes yang meningkat wabak COVID-19 di Daerah Simunjan, beberapa kawasan PKPD telah diwujudkan bermula pada 10 sehingga 23 September depan.

Menurutnya, antara kawasan-kawasan PKPD berkenaan ialah Kampung Baru, Kampung Baru Hilir dan Kampung Jalan Giatmara bagi Daerah Kecil Sebuyau.

“Manakala di Daerah Simunjan melibatkan Kampung Melanjok, Kampung Nanas Hilir, Kampung Nanas Hulu, Kampung Sageng Sabal, Kampung Sageng Tengah, Kampung Sageng Hulu dan Kampung Sageng Hilir.

“Bagi PKPD Kampung Nanas, pihak JPBD Simunjan telah mengarahkan untuk mendirikan tiga sekatan jalan raya (SJR), manakala di Kampung Sageng empat SJR, Kampung Melanjok dua SJR didirikan,” katanya ketika ditemui UKAS pada Jumaat.

Dalam masa sama, beliau memohon kerjasama semua penduduk di kawasan terlibat agar memberikan kerjasama bagi memutuskan rantaian wabak COVID-19. -EDISI UKAS

Share
0

add comment