1,000 KIR Daerah Selangau Terima Bantuan Bakul Makanan PEMULIH, 45 NGO DUN Tamin Terima Peruntukan MRP

JUMAAT, 10 SEPTEMBER 2021

SELANGAU: Seramai 1,000 Ketua Isi Rumah (KIR) di Daerah Selangau akan menerima bantuan bakul makanan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Ahli Dewan Negara Senator Rita Sarimah Patrick Insol berkata, mereka yang mendapat bantuan ini adalah KIR miskin yang diperolehi  melalui senarai nama  e-Kasih dari Pejabat  Kebajikan Daerah Selangau.

“Bagi peruntukkan bakul makanan melalui Senator, Kerajaan Persekutuan telah menetapkan bahawa bantuan ini diagihkan melalui persatuan atau Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). 

“Bagi kawasan DUN Tamin pihak yang akan mengurus bantuan ini ialah Persatuan Memelihara dan Memajukan Tanah Adat Asal Bintulu (MENTAS) bagi DUN Tamin.

“Bagi DUN Kakus, bantuan ini nanti akan diuruskan Dayak Oil Palm Planters Association of Sarawak (DOPPA),” katanya semasa berucap dalam Simbolik Penyerahan Bantuan Bakul Makanan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dan Penyampaian Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Pejabat Daerah Selangau pada Khamis. 

Jelasnya lagi, penyerahan bantuan ini diadakan secara simbolik kepada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) sebagai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan. 

Dalam pada itu, Senator Rita turut memaklumkan penyerahan cek peruntukan MRP ini diserahkan sedikit lewat berikutan keadaan semasa COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika ini. 

“Kerajaan Sarawak ada memberi peruntukkan khas kepada kita di kawasan Parlimen Selangau. Bagaimanapun, peruntukan ini diagihkan sedikit lewat. 

“Pada hari ini sebanyak 45 penerima cek MRP dengan nilai keseluruhan berjumlah RM531,000 diserahkan untuk kawasan DUN Tamin dan DUN Kakus. 

“Kebanyakan penerima cek MRP hari ini dari kawasan DUN Tamin. Selepas ini, penyerahan cek MRP akan datang adalah bagi kawasan DUN Kakus,” ujarnya. 

Seramai 45 penerima yang terdiri daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di kawasan DUN Tamin menerima peruntukan MRP secara bergilir-gilir. 

Sementara itu, Pengerusi Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Cabang Selangau Tuai Rumah Rose Tandang mengucapkan terima kasih di atas pemberian peruntukan MRP ini.

“Selaku Pengerusi SIDS Cabang Selangau, saya amat berterima kasih kepada Senator Rita di atas pemberian peruntukan ini yang akan digunakan untuk melaksanakan pelbagai aktiviti contohnya menyertai pameran, mengadakan program masakan, anyaman dan sebagainya. 

Nada yang sama turut disuarakan Tuai Rumah Julia Awal di atas pemberian peruntukan ini yang akan digunakan untuk membaik pulih rumah panjang.

“Terima kasih kepada Kerajaan Sarawak di atas peruntukkan ini  yang akan digunakan untuk membangunkan infrastruktur rumah panjang dengan membuat stor dan kemudahan lain. 

Hadir sama Pegawai Daerah Selangau Inting anak Nyami, Pemanca Daerah Selangau Mathew Ganggang dan Penghulu- Penghulu di Daerah Selangau.-EDISI UKAS

Share
0

add comment