2,766 Pelajar Berumur 16 Dan 17 Tahun Bahagian Limbang Terima Suntikan Vaksin COVID-19

JUMAAT, 10 SEPTEMBER 2021

LIMBANG: Sepanjang tempoh tiga hari bermula Jumaat, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja Berumur 16 dan 17 tahun di Daerah Limbang, seramai 2,766 pelajar akan disuntik vaksin COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Limbang Ir. Ahmad Denney Ahmad Fauzi berkata, mengikut pecahan seramai 1,496 pelajar berada di Daerah Limbang dan 1,044 orang pelajar lagi berada di Daerah Lawas.

“Kita di Bahagian Limbang juga tidak mengecualikan pelajar-pelajar yang tercicir di mana kita dapati remaja yang berumur 16 hingga 17 tahun adalah seramai 108 orang. 

“Kalau dipecahkan mengikut laporan yang kita terima seramai 66 orang untuk Daerah Limbang manakala selebihnya di Daerah Lawas. 

“Jadi, keseluruhannya bagi Bahagian Limbang pelajar yang berumur 16 hingga 17 tahun yang layak untuk divaksinasi termasuk juga yang 12 hingga 17 tahun tadi adalah seramai 2,940 orang,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke PPV Dewan Suarah Limbang sempena Proses Vaksinasi COVID-19 Remaja Berumur 16 Dan 17 Tahun pada Jumaat. 

Mengulas lanjut pemberian vaksinasi COVID-19 pada Jumaat, Ir. Ahmad Denney yang juga Residen Bahagian Limbang memberitahu seramai 367 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Patiambun dan 147 pelajar SMK Agama Limbang menerima suntikan vaksin COVID-19.

Manakala, pelajar SMK Kubong dan SMK Medamit serta SMK Limbang akan menerima suntikan vaksin COVID-19 pada Sabtu dan Ahad.

“Pada pagi ini 10 September mengikut laporan yang saya terima, hari ini (Jumaat) dimulakan dengan pelajar-pelajar dari SMK Seri Patiambun di mana seramai 367 pelajar akan menerima suntikan vaksin di sini. Manakala, pada petang ini pelajar SMK Agama Limbang seramai 147 orang akan divaksinasi.

“Esok, 11 September SMK Kubong seramai 302 orang dan sebelah petangnya SMK Medamit seramai 252 orang.

“Hari terakhir pada 12 September adalah untuk pelajar SMK Limbang seramai 421 orang. Saya difahamkan pada hari terakhir juga khas untuk pelajar-pelajar yang tercicir,” ujarnya. 

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Kementerian kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Pendidikan Daerah (JPD) Limbang dan JPD Lawas, guru-guru dan agensi-agensi lain yang terlibat dalam menjayakan PICK Bahagian Limbang.

Hadir sama Pegawai Kesihatan Bahagian Limbang Dr Norliza Haji Jusoh, wakil Pegawai Pendidikan Daerah Limbang Patrick Lukong dan Pengetua SMK Seri Patiambun Limbang Ziem Kassim.-EDISI UKAS

Share
0

add comment