402 Pelajar Terima Suntikan Dos Pertama Vaksin COVID-19 Di PPV Dewan Suarah Mukah

JUMAAT, 10 SEPTEMBER 2021

MUKAH: Residen Bahagian Mukah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Mukah, Hamdiah Bakir turun padang bagi meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Suarah Mukah pada Khamis.

Beliau memberitahu, seramai 402 orang pelajar telah hadir bagi menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 pada hari tersebut.

Jelasnya, seluruh bahagian Mukah melaksanakan program vaksinasi bagi remaja berumur 16 hingga 17 tahun demi mencapai matlamat imuniti kelompok sebelum sesi persekolahan bermula 3 Oktober ini.

“Para ibu bapa yang mempunyai anak yang berumur 16 hingga 17 tahun digalakkan untuk menghadirkan diri ke PPV berdekatan termasuk di sekolah dan klinik bermula 8 hingga 12 September ini,” katanya.

Hamdiah menambah, sasaran pelajar bagi menerima suntikan vaksin di PPV, sekolah dan program outreach yang terlibat adalah Dewan Suarah Mukah (1,584) dan Klinik Kesihatan Balingian (120) untuk bahagian Mukah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dalat (477) dan SMK Oya (198) untuk bahagian Dalat, Dewan Serbaguna Matu (340), Klinik Kesihatan Kuala Igan (78), Klinik Kesihatan Nanga Passin (36) dan SMK Batang Igan (107) untuk bahagian Matu, SMK Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Normah Daro (365) dan SMK Semop (205) untuk bahagian Daro, SMK Belawai (246) dan Klinik Kesihatan Paloh (36) untuk bahagian Tanjung Manis. –EDISI UKAS

Share
0

add comment