Ahli Parlimen Kota Samarahan Tinjau Program Imunisasi Di PPV SMK Kota Samarahan

JUMAAT, 10 SEPTEMBER 2021

KOTA SAMARAHAN: Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang turun padang bagi meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Samarahan pada Khamis.

Beliau memaklumkan kira-kira 1,900 orang pelajar dijangka menerima suntikan vaksin dos pertama di PPV tersebut yang diadakan selama tiga hari bermula 9 hingga 11 September ini.

“Saya bersyukur atas kerjasama daripada pelajar yang ditemani oleh ibu bapa masing-masing yang bersetuju untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 bagi mereka yang berumur 16 hingga 17 tahun.

“Saya turut berterima kasih kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Samarahan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atas inisaitif melakukan program imunisasi ini yang dibantu oleh pihak sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, Penyelaras PPV SMK Kota Samarahan, Dr Noryatini Merali memberitahu proses vaksinasi tersebut dikendalikan oleh 50 petugas KKM dengan kerjasama pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Para pelajar yang menerima suntikan vaksin berasa gembira dan bersedia untuk menerima suntikan vaksin dos kedua mengikut temujanji yang ditetapkan kelak. –EDISI UKAS

Share
0

add comment