Penduduk Kampung Menuang Baru Jalani PKPD Terima Bantuan Makanan

JUMAAT, 10 SEPTEMBER 2021

BATU DANAU: Penduduk Kampung Menuang Baru yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menerima bantuan makanan daripada Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Batu Danau.

Penyerahan bantuan tersebut telah disempurnakan Timbalan Pengerusi SABERKAS Cawangan Batu Danau, Jangan Bakar yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau merangkap Pengerusi SABERKAS Cawangan Batu Danau, Paulus Palu Gumbang di pondok kawalan PKPD kampung berkenaan pada Jumaat.

Dalam pada itu, SABERKAS Cawangan Batu Danau turut menyantuni petugas barisan hadapan yang terdiri daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dengan mengagihkan bantuan air minuman dan makanan ringan.

Tuai Rumah Manggi Igom ketika dihubungi menzahirkan ucapan terima kasih kepada Paulus dan SABERKAS Cawangan Batu Danau di atas keprihatinan dalam membantu penduduk kampung.

“Terima kasih kepada ADUN Batu Danau atas bantuan yang diberikan yang amat bermakna bagi penduduk kampung untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam suasana PKPD,”katanya.-EDISI UKAS