Polis Tahan 2 Lelaki Warga Asing, Rampas 72 Gram Dadah Jenis Syabu

JUMAAT, 10 SEPTEMBER 2021

BINTULU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu telah berjaya menahan dua lelaki warga asing dan merampas dadah jenis syabu seberat 72 gram dengan nilai RM7,200 di Kampung Wawasan Jaya, Jalan Bintulu-Miri pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Bintulu Supt Zulkifli Suhaili dalam sidang medianya pada Khamis berkata, polis telah membuat serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Wawasan Jaya, Jalan Bintulu-Miri pada jam kira-kira 1.00 petang. 

Dalam serbuan itu, polis menahan dua lelaki berumur lingkungan 20-an disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

“Hasil pemeriksaan teliti ke atas subjek dan di dalam rumah terbabit, polis telah menjumpai 17 paket plastik lutsinar dan tujuh keratan tiub straw yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah Methamphetamine atau syabu dengan berat kasar 72 gram bernilai RM7,200 di dalam beg sandang.

“Hasil ujian saringan awal, mendapati kedua-dua saspek positif dadah jenis syabu,” katanya. 

Tambah Zulkipli lagi, kedua-dua suspek telah ditahan reman selama 14 hari bermula 9 hingga 22 September untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kedua-dua saspek juga disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

“Dengan penangkapan kedua-dua suspek, saya percaya pihaknya telah berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang aktif menjalankan kegiatan mereka di sekitar kawasan Simpang Bakun dan ladang kelapa sawit berdekatan,” tambahnya. 

Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan maklumat daripada orang awam bagi memastikan aktiviti pengedaran dadah dapat ditumpaskan.

Hadir sama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Bintulu ASP Muning Jakung dan Pegawai Penyiasat Inspektor Vivan Entiee Ngadan.-EDISI UKAS

Share
0

add comment