Pustaka Negeri Sarawak Anjur Demonstrasi Masakan Tradisional Etnik Sarawak

JUMAAT, 10 SEPTEMBER 2021

KUCHING: Pustaka Negeri Sarawak akan mengadakan program Demonstrasi Masakan Tradisional Etnik Sarawak yang akan menampilkan menu masakan tradisional etnik Sarawak berasaskan daun sempena dengan tema Festival Sarawakiana 2021.

Dalam kenyataan media pada Khamis, Pustaka Negeri Sarawak berkata objektif program ini adalah untuk memperkenalkan keunikan masakan di Sarawak yang menggunakan variasi daun yang terkenal dan mudah didapati di Sarawak.

“Pustaka Negeri Sarawak akan berkolaborasi untuk kali kedua bersama Chef dari Kolej Kemahiran Kuching Jespa Langki dan Sebastian Ali Jaman.

“Kedua-dua chef ini adalah anak jati Sarawak dan telah banyak menerima undangan dan jemputan bagi mengendalikan sesi latihan masakan dan juga sebagai juri pertandingan anjuran pelbagai agensi korporat dan swasta,” katanya. 

Program Demonstrasi Masakan Tradisional Etnik Sarawak ini akan disiarkan secara maya menerusi saluran YouTube Pustaka Negeri Sarawak dan Facebook Pustaka Sarawak pada 11 September 2021, Sabtu jam 11.00 pagi. 

Antara menu masakan tradisional yang terkenal di Sarawak dan yang akan ditampilkan dalam program ini ialah botok ikan tenggiri, kerabu ulam serta pencuci mulut yang terkenal di Sarawak iaitu pais bandong, kuih bongkol, kuih takir dan minuman herba yang berasaskan daun. 

Justeru, orang ramai dipelawa menonton program ini dan untuk pertanyaan lanjut, boleh hubungi Pustaka Negeri Sarawak di talian 082-440488 atau melalui emel aidasheh@sarawak.gov.my (Aidashermilla Hashim) atau nadzramo@sarawak.gov.my (Nadzrah Mohd Othman).-EDISI UKAS

Share
0

add comment