KHAMIS, 9 SEPTEMBER 2021
KUCHING: Dalam usaha menghidupkan industri muzik tempatan, syarikat infrastruktur ICT, SACOFA Sdn Bhd tampil dengan inisiatif ‘The Music Must Go On, Virtual Gig 2021’.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SACOFA, Mohamed Zaid Zaini, inisiatif yang berkonsepkan persembahan secara maya itu memberi peluang kepada pemuzik tempatan meraih pendapatan setelah persembahan mereka dimuat naik di media sosial.
“Melalui tajaan korporat kita di mana SACOFA menyediakan dana sebanyak RM20,000 untuk memulakannya. Ideanya adalah kita mempelawa semua pemuzik tempatan. Anda membuat persembahan, kita muat naik dan anda dibayar.
“Jadi secara kecil mereka mendapat mata pencarian,” katanya semasa majlis simbolik penyerahan cek sumbangan SACOFA kepada Jawatankuasa Masjid Darul Al-Amin Kampung Semop yang diwakili Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan UKAS merangkap ADUN Semop, Abdullah Saidol pada Khamis.
Pada majlis sama, SACOFA turut melancarkan lagu tema mereka berjudul ‘We Are The STAR Team’ yang dicipta oleh kakitangan syarikat itu sendiri.
Selain itu, dua penyanyi era 60an tempatan, Muhammad Husaini Troki dan Baijuri Abdullah turut menerima sumbangan CSR dari pihak SACOFA dalam majlis tersebut. – EDISI UKAS