Semua Golongan Remaja Di Tasik Biru Akan Divaksinasi, Tiada Yang Dipinggirkan

JUMAAT, 10 SEPTEMBER 2021

BAU: Semua golongan remaja di konstituensi Tasik Biru akan mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 dan tiada individu yang akan dipinggirkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep berkata, sekiranya terdapat remaja yang tidak dapat menghadirkan diri kerana isu seperti kuarantin, logistik dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketakan (PKPD), maka nama mereka akan dikumpul oleh pihak sekolah untuk dimajukan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Bau.

Jelas beliau, pihak PKD Bau akan melakukan ‘mopping’ di mana akan mencari tarikh baru untuk golongan tersebut yang tidak dapat hadir pada hari ditetapkan.

“Sesi vaksinasi untuk golongan remaja dijangka tamat pada 3 Oktober depan. Bagi SMK Singai dos pertama pada 9 September dan dos kedua pada 30 September depan.

“Program sama akan diadakan di SMK Bau pada 10 september bagi dos pertama dan 1 oktober depan bagi dos kedua,” katanya ketika ditemui semasa mengadakan tinjuan ke Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) remaja berusia 16 dan 17 tahun di Sekolah Menengah kebangsaan (SMK) Singai di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, seramai 2,025 orang remaja telah dikenalpasti untuk menerima vaksin jenis Pfizer pada program vaksinasi remaja ini.

Bercakap mengenai internet percuma kepada pelajar insitusi pengajian tinggi (IPT) di kawasan Tasik Biru, beliau berkata, kemudahan yang disediakan itu tiada had ditetapkan kerana ia bertujuan memastikan semua pelajar IPT yang terkesan dapat menikmati inisiatif tersebut.

Menurutnya, tiga lokasi yang akan dijadikan untuk tujuan tersebut iaitu antaranya pertama di Pusat Khidmat N.2 Tasik Biru bagi kawasan Pekan Bau dan sekitarnya.

“Kedua pula di 1Singai untuk kawasan Singai dan Tondong dan ketiga di Heritage Café untuk kawasan Jagoi dan berdekatan.

“Pusat Khidmat akan menyediakan perkhidmatan pusat internet di setiap lokasi tersebut dimana para pelajar boleh mengakses internet UNIFI tanpa bayaran.

“Untuk setiap lokasi, dianggarkan lebih kurang 20 hingga 40 pelajar sehari akan dapat menggunakan kemudahan ini,” katanya. -EDISI UKAS

Share
0

add comment