Seramai 720 Pelajar Di Sadong Jaya Terima Suntikan Dos Pertama Vaksin

JUMAAT, 10 SEPTEMBER 2021

SADONG JAYA: Seramai 720 orang pelajar tingkatan empat dan tingkatan lima di Sadong Jaya menerima suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer di Dewan Serbaguna Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sadong Jaya pada Jumaat.

Kesemua pelajar yang divaksin adalah dari SMK Sadong Jaya, SMK Sadong Hilir dan SMK Pesantren Taib Mahmud (PATMA).

SMK Sadong Jaya dipilih sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) memandangkan keadaan persekitaran yang luas, strategik serta memudahkan ibu bapa untuk menghantar anak mereka.

Suasana di PPV SMK Sadong Jaya diceriakan lagi dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Aidel Lariwoo dan Pegawai Daerah Asajaya, Rais Ahmat dengan kibaran lagu Jalur Gemilang.

Aidel berkata, beliau berpuas hati dengan kelancaran program pemberian vaksin di PPV SMK Sadong Jaya dengan semua pelajar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Tinjauan yang dilakukan mendapati para pelajar juga ditemani oleh ibu atau bapa mereka untuk menandatangani surat pengesahan kebenaran sebelum menerima suntikan vaksin.

Program vaksinasi tersebut dikendalikan oleh petugas Klinik Kesihatan Sadong Jaya dengan kerjasama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). -EDISI UKAS

Share
0

add comment