Takungan, Empangan Penting Dibina Untuk Kawal Jumlah Air Hulu Sungai – Datu Dr Penguang

JUMAAT, 10 SEPTEMBER 2021

MARUDI: Pembinaan takungan atau empangan penting untuk membantu mengawal jumlah air di hulu sungai pada masa akan datang.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil berkata, penyelesaian jangka masa panjang itu penting bagi membantu mengurangkan banjir yang berlaku di Marudi disebabkan limpahan air Sungai Baram.

“Dalam jangka masa panjang kita perlu membuat takungan. Ini sebenarnya salah satu cara untuk mengawal banjir kerana kita boleh mengawal jumlah air yang keluar dari hulu sungai,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa membuat lawatan di Dewan Suarah Marudi pada Jumaat yang menjadi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) menempatkan 23 orang mangsa banjir dari Tanjung Opar.

Difahamkan, paras air di Marudi sejak minggu lepas mula surut dengan perlahan dan cuaca bertambah baik.

Dalam pada itu, Datu Dr Penguang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi turut meninjau proses pemberian vaksin bagi individu yang berumur 17 hingga 18 tahun di Dewan Suarah Marudi yang mula dilaksanakan secara serentak di seluruh Sarawak pada Khamis.

Seramai 405 orang individu telah divaksin pada Jumaat dengan kebanyakan mereka adalah pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telang Usan.

Selepas itu, beliau juga membuat lawatan ke PPS SMK Telang Usan yang menempatkan 19 orang mangsa dari lima buah keluarga dari Kampung Padang Kerbau dan Kampung Cina Marudi.

Beliau kemudiannya turun padang bagi melihat sendiri keadaan banjir di sekitar pekan dan juga kepada kampung yang terjejas teruk akubat banjir.

Keadaan air masih lagi dilihat membanjiri kawasan rumah penduduk khususnya Kampung Narum yang mana di kawasan rendah air berada di paras dua ke tiga kaki dalam.-EDISI UKAS

Share
0

add comment