312 Pelajar Di Matu Terima Vaksin Dos Pertama

SABTU, 11 SEPTEMBER 2021

MATU: Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) untuk remaja berusia 16 dan 17 tahun diteruskan di Matu menyaksikan seramai 312 pelajar menerima vaksin dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Serbaguna Matu pada Sabtu.

Daripada jumlah berkenaan, 255 orang merupakan pelajar dari SMK Matu manakala selebihnya seramai 57 orang adalah pelajar yang bersekolah di luar kawasan.

Program dianjurkan menerusi kerjasama CITF Daerah Matu dengan Pejabat Daerah Matu.

Ketika ditemui Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), rata-rata pelajar sangat teruja dan bersemangat untuk mendapatkan vaksin kerana tidak sabar untuk kembali ke sekolah dan menjalani pembelajaran secara bersemuka semula.

Ibu bapa yang sempat ditemuramah turut gembira setelah anak-anak mereka mendapat vaksin dan lebih yakin dengan keselamatan mereka apabila kembali bersekolah nanti.

Para guru turut menyambut baik program berkenaan sebagai langkah positif kerajaan bagi menangani penularan COVID-19 terutama di sekolah.

Pihak kesihatan Matu, APM, RELA, Pejabat Daerah Matu dan para sukarelawan yang terdiri dari kakitangan sekolah turut membantu melancarkan proses pemvaksinan.

Sementara itu, seramai 84 orang lagi remaja berusia 16 dan 17 tahun turut menerima vaksin dos pertama di Klinik Kesihatan Kuala Igan pada Sabtu.

Program bermula sejak jam 8 pagi itu berjalan lancar dan tiada insiden tidak diingini berlaku. – EDISI UKAS

Share
0

add comment