572 Pelajar Terima Vaskin COVID-19 Di PPV Lundu

SABTU, 11 SEPTEMBER 2021

LUNDU: Seramai 581 orang pelajar telah mendapatkan suntikan dos pertama vaksin COVID-19 pada hari pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) untuk remaja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Lundu pada Sabtu.

Berdasarkan jadual vaksinasi yang telah dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Lundu, hanya pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lundu sahaja yang diarahkan untuk hadir ke PPV Lundu.

Bagaimanapun, sebilangan besar pelajar yang layak untuk divaksin tidak dapat hadir memandangkan kampung masing-masing masih menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Sementara itu, pelajar SMK Senibong juga telah diarahkan untuk hadir bagi mendapatkan vaksin COVID-19 mereka.

Difahamkan, baki pelajar SMK Lundu dan SMK Senibong yang belum divaksin akan divaksin pada Ahad bersama pelajar dari SMK Sematan.

Sementara itu, bagi pelajar SMK Lundu, Norasyikin Abdullah dan Mohamad Alif Aminurashid Poniman ketika ditemui berkata, mereka berasa sangat gembira dan lega setelah menerima vaksin COVID-19.

Malah, mereka menggalakkan individu yang masih belum mendapatkan vaksin COVID-19 untuk segera mendapatkannya demi kesihatan diri masing-masing.-EDISI UKAS

Share
0

add comment